Seni Fiber Tekstil

Norwani Md. Nawawi dan Habibah Abdul Jabbar

Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

 

PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan budaya dan warisan. Generasi muda perlu mengenali seni budaya bangsa agar ia dapat berkembang ke peringkat global. Hasil seni yang berorientasikan jenis-jenis kain tenunan perlu dijkaji dan diolah dengan inovasi rekaan dan teknik pembuatan yang terkini dalam menghasilkan karya-karya seni fiber yang berbentuk tenunan dan non-tenunan yang boleh dipelbagai penggunaanya. Sebelum karya baru muncul,sudah tentu yang lama tidak dilupakan. Sebagai insan manusia perasaan sayang masih ada dalam jiwa terhadap warisan budaya yang telah lama melahirkan kreativiti, keilmuaan dan teknologi yang mewarnakan corak kesenian tempatan termasuk bidang seni fiber tekstil.

 

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis kain tenunan tradisional seperti kain limar, kain songket, kain punca potong, kain pere dan kain tenun Pahang. Seni tenunan kini merupakan pusaka yang amat bernilai dan seninya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sebagai seni warisan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ada juga yang telah pupus tetapi atas kesedaran beberapa agensi kerajaan telah menjalankan proses pemulihan dan pemeliharaan ke atas kain seperti kain limar dan kain karat empat atau kain kuping.